Wednesday, December 29, 2004

Article by Mohd Sidki Hasan (taken from Utusan Malaysia)

Tragedi ombak tsunami suatu pengajaran agar kita beringat

Saudara Pengarang,SAYA merujuk tulisan Penonton TV, Petaling Jaya serta Shamsul Anwar dari Gombak dalam akhbar ini mengenai dua kekurangan ketara berkaitan bencana tsunami Ahad lepas iaitu kegagalan media elektronik membuat liputan secukupnya serta ketiadaan amaran awal oleh agensi-agensi terbabit.
Seawal 9.00 pagi Ahad lepas, ramai pendengar menghubungi radio interaktif Radio Malaysia Kuala Lumpur (RMKL) mengenai gegaran yang dirasai oleh para penghuni bangunan tinggi di Lembah Klang.
Pengacara bertugas ketika itu segera mengumumkan mereka sedang cuba untuk menghubungi pihak yang berkenaan iaitu Jabatan Kaji Cuaca untuk mengetahui punca dan keadaan sebenar yang berlaku.
Rupanya dalam masa yang sama beberapa hospital besar termasuk di luar Lembah Klang telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan para pesakit ke luar bangunan hospital.
Malangnya pihak stesen TV termasuk milik kerajaan gagal mempamerkan kepekaan yang sama.
RTM masih meneruskan seperti biasa rancangan-rancangan hiburan seperti temu ramah penyanyi 60-an pada pagi Ahad.
Rancangan senamrobik diteruskan pada hari Ahad, Isnin sehinggalah hari ini (Selasa).
Jika tidak kerana laporan oleh akhbar-akhbar serta stesen televisyen asing dan swasta, tidak ramai penduduk Malaysia mengetahui bahawa negara sedang dilanda bencana paling buruk dalam sejarah negara.
Sepatutnya sebagai stesen infotainmen, informasi masih harus mendahului hiburan, bukan sebaliknya.
Amatlah malang jika maklumat ini tidak sampai ke agensi-agensi keselamatan berkaitan.
Adakah mungkin kerana bencana tersebut terjadi pada hari minggu di penghujung tahun, maka ramai kakitangan bercuti termasuk ketua-ketua jabatan hingga mengetepikan hakikat bahawa RTM dan agensi-agensi terbabit termasuk Jabatan Kaji Cuaca merupakan agensi strategik negara? Kalau benar, bermakna kita telah memandang remeh isu keselamatan negara.
Kepada semua rakat Malaysia, bersimpatilah. Cubalah fahami peritnya penderitaan serta trauma kaum keluarga mangsa yang kehilangan sehingga lima orang anak di depan mata kepala sendiri.
Pagi ini pun ada pemanggil TV3 menyatakan ombak tsunami ini mungkin bala dan balasan Tuhan atas kita. Apakah singkat sungguh pemikiran orang kita?
Adakah kita cadangkan bahawa membawa keluarga berkelah ke tepi pantai satu dosa? Bagaimana dengan seorang nenek yang dihanyutkan ombak ketika sedang menunaikan solat Zuhur?
Mudah sungguh menjatuhkan hukum ke atas penderitaan orang lain dari hadapan kaca televisyen. Tidakkah kita terharu melihat sukarelawan bukan Islam begitu prihatin memeluk dan memberikan kata-kata perangsang dan motivasi. Itulah yang mereka perlukan pada waktu-waktu sukar sebegini.
Tragedi seperti ombak besar tsunami memang sukar dijangka, tetapi langkah proaktif boleh mengurangkan risiko tragedi serta jumlah kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.
Jika pihak luar hendak menceroboh negara kita, adakah mereka hendak memberi amaran terlebih dahulu? Tentulah tidak.
Agensi-agensi bertanggungjawablah yang mesti mengambil inisiatif memantau kemungkinan-kemungkinan tragedi sedemikian akan berlaku.
Itulah yang gagal dilaksanakan oleh Jabatan Kaji Cuaca serta agensi-agensi lain seperti SMART dalam tragedi tsunami ini.
Semoga pengajaran ini akan menukar pemikiran kita supaya lebih beringat. -
MOHD SIDKI HASAN, Shah Alam, Selangor.
Published by Utusan Malaysia 29 Dec 2004

No comments: